Tuesday, November 17, 2009

SPR Harus Jalankan Tanggungjawab



KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA
18HB NOVEMBER 2009


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh kosong dan satu pilihan raya kecil mesti diadakan kerana Datuk Abu Hassan Sarif, ADUN Kota Siputeh gagal menghadirkan diri pada dua persidangan DUN secara berturut-turut dan menyebabkan beliau terhalang daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan bahawa jika seseorang ADUN tidak menghadiri mesyuarat dewan tanpa kebenaran speaker sebanyak dua persidangan berturut-turut, maka kerusi diwakilinya akan menjadi kosong. Namun begitu, pihak SPR telah mengeluarkan satu kenyataan untuk memohon semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Mahakamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dengan ini menyatakan rasa bimbang dengan situasi dan keadaan yang berlaku dalam politik dan perundangan negara ini. Hal ini adalah berikutan isu kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh yang diisyhtiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. KAMI merasakan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia tidak seharusnya mengambil inisiatif untuk memohon semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KAMI berpendapat bahawa tindakan SPR adalah bertentangan dengan semangat dan prinsip perlembagaan negara kita. Senagai sebuah front anak muda yang mendukung penuh amalan demokrasi, maka KAMI berpandangan bahawa keluhuran undang-undang itu adalah wajib untuk dipertahankan. KAMI berpendapat bahawa pihak SPR seharusnya tidak campur tangan dalam urusan menentukan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri terbabit, sebaliknya haruslah menjalankan tugas seperti mana yang terdapat dalam peruntukan Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan; menjalankan pilihan raya, menentukan persempadanan semula pilihanraya serta mengadakan daftar pemilih untuk pilihanraya.

KAMI berasa sangat kecewa dengan situasi yang melanda negara kita apabila melihat kebanyakan institusi dijadikan alat pemerintah untuk mempertahankan kuasa. KAMI berpandangan bahawa prinsip-prinsip demokrasi itu tidak seharusnya ditolak semata-mata untuk mempertahankan kekuasaan. Justeru, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) berpendirian bahawa;

1. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia perlu membatalkan permohonan mangadakan semakan kehakiman ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
2. Pihak SPR hendaklah menjalankan pilihan raya kecil selaras dengan peruntukan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
3. SPR haruslah bebas daripada mana-mana pengaruh politik kepartian untuk menjaga kredibiliti badan ini sebagai badan yang menjalankan proses pilihan raya di negara kita.
4. Prinsip undang-undang haruslah sentiasa diletakkan mengatasi semua kepentingan lain.

Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen

No comments: