Tuesday, November 24, 2009

Kebajikan Mahasiswa Harus Di Utamakan


SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)

KENYATAAN MEDIA BERKENAAN ISU YURAN KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SELANGOR (KUIS)

UNTUK EDARAN SEGERA

25HB NOVEMBER 2009



Dalam usaha membangunkan idealisme anak muda dan mahasiswa, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga tidak pernah terkecuali daripada perjuangan bagi menyuarakan soal kebajikan mahasiswa dan anak muda. SMM akan sentiasa memperjuangkan kebajikan mahasiswa lebih-lebih lagi soal kebajikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Justeru SMM mengeluarkan kenyataan ini bagi menyokong tindakan Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang memperjuangkan keluhan dan rasa tidak puas hati mahasiswa KUIS akibat daripada kenaikan harga yuran yang begitu membebankan. SMM dengan ini berpendirian dengan tegas bahawa isu ini hendaklah diambil serius oleh pihak pentadbiran universiti dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab.


SMM juga berpendirian bahawa kenaikan yuran yang dikenakan kepada mahasiswa sangat membebankan. Kenaikan lebih 50% daripada harga asal dilihat sebagai keputusan yang zalim oleh pihak KUIS tanpa menghiraukan soal kebajikan pelajar. SMM juga mengecam sekerasnya kenyataan pihak pentadbiran KUIS melalui Pegawai Eksekutif Pemasarannya, Raja Nor Ashikin Raja Ramli, yang dianggap seolah-olah mahu melepaskan tanggungjawab terhadap isu ini. SMM berpendirian bahawa pihak KUIS seharusnya bertanggungjawab kepada mahasiswa dan bukannya kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi dalam soal harga yuran. Tindakan ini dilihat sebagai menafikan peranan mahasiswa dalam universiti. Pihak pentadbiran juga seharusnya mengadakan perbincangan dengan wakil mahasiswa sebelum kenaikan yuran dan bukannya selepas bantahan oleh mahasiswa akibat kenaikan harga yuran yang sangat membebankan.


Oleh yang demikian, SMM mengambil keputusan tegas untuk membantu Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) bagi memperjuangkan isu ini sehingga selesai. SMM juga mahu isu ini dipandang serius oleh semua pihak yang bertanggungjawab khususnya pihak pentadbiran KUIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). SMM juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak termasuk Dato’ Haji Mohamad Adzib b. Mohd Isa selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada minggu hadapan bagi membincangkan masalah ini kerana KUIS adalah salah sebuah anak syarikat MAIS. Harapannya agar kes ini dapat diselesaikan dengan segera sekaligus membela kebajikan mahasiswa KUIS.



Hilman Idham

Wakil Kepimpinan Front,

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

No comments: